30 April 2010

Safar Dakwah Ke Tawau


29/04/2010 - 1833 - LCCT

Aku bersama Abu Muhammad sampai di sini + - jam 1545. Sampai, kami solat di surau LCCT – jamak taqdim – dan kemudiannya berehat sambil duduk-duduk. Abu Muhammad membuka beg galasnya dan mengeluarkan Al-Quran lalu dibaca. Aku pula, meneruskan bacaan buku yang baru ku beli (tempoh hari di Bandung). Buku karangan Syaikh at-Tarbiyah, Ustaz KH Rahmat Abdullah (almarhum) – Untuk Mu Kader dakwah.

Pada itu, pengunjung-pengunjung surau tak putus-putus masuk-keluar untuk solat. Tak kurang yang matanya melirik ke arah kami, melihatkan dua makhluk yang asing, satunya sedang membaca Quran dan satunya khusyuk membaca buku dakwah. Mungkin mereka hairan, siapakah makhluk yang duduk merempat di masjid dan membaca al-Quran. Mungkin itu satu pemandangan yang langka pada zaman maju dan berteknologi tinggi ini.

Spontan melihatkan keadaan itu, aku jadi teringat akan kata-kata Syaikh at-Tarbiyah Ustaz KH Rahmat Abdullah iaitu, “Kematian hati, ramai manusia yang tertawa sedang maut mengintainya. Ramai orang yang cepat datang ke soff-soff solat, namun cepat pula perginya, dingin tanpa penghayatan”. Sungguh kata-kata yang begitu tepat untuk menggambarkan keadaan yang aku lalui. Sesungguhnya, permata yang keluar daripada jauhari itu sungguh tidak ternilaikan dengan kata-kata dan harta.

“Attention to passengers flight AK 5156 to Tawau, the gate is open now. Please be ready with your pass and your IC, thank you”. Panggilan sudah kedengaran. Abu Muhammad yang berada disebelahku di balai berlepas menghentikan bacaan bukunya, “Mensufikan salafi dan mensalafikan sufi” karangan Prof Dr Yusof Al-Qaradhawiy dan bersiap-siap dengan tiket dan kad pengenalan. Orang ramai mula beratur untuk masuk ke pesawat.

29/04/2010 – 2040 – Dalam Flight

Alhamdulillah, buku karangan syaikh at-tarbiyah telah pun aku khatamkan. Begitu mengesankan sekali apa yang dicoretkannya. Ianya adalah kompilasi tulisan Ustaz KH Rahmat Abdullah di majalah Tarbawi di Indonesia, majalah ikhwah yang sangat bermanfaat untuk dijadikan sajian minda. Kini, yang menjadi langkah seterusnya buat ku adalah untuk menghadamkan apa yang telah ku dapat daripada buku tersebut secara praktikalnya, sama ada secara fiqriyah (corak berfikir, kefahaman, dan landasan pemikiran) juga secara amaliyah (amal).

Sejenak, ku layangkan pandangan ke tengah pesawat, melihat manusia-manusia yang bersama-sama ku. Aku berangan sendiri, “dalam pesawat yang melayang di udara, manusia masih bersama-sama kesibukan diri mereka sendiri juga, sudahlah di daratan sana mereka sedia adanya begini. Apakah melayangnya pesawat ini tidak dapat memberi pengajaran dan peringatan yang cukup besar buat diri kita? Pengajaran dan Peringatan akan Dia yang Maha berkuasa atas segala-galanya? Sungguh manusia amat sedikit yang mengerahkan fikirannya tentang itu.

Wahai manusia, adakah kau rasa masih ada bagimu waktu untuk kau beramal sesudah pesawat ini mendarat? Jika demikian anggapan mu, maka engkau adalah orang-orang yang benar-benar merdeka. Merdeka daripada maut yang sentiasa mengintai mu setiap detik waktu, tanpa kau sedari. Akan tersunggingkah lagi senyuman di bibir mu wahai orang yang merdeka?

(Rumah Al-Fadhil Ust Ihsan, Tawau, Jumaat, 0933)

No comments:

Post a Comment