28 June 2011

Seribu Bayangan

Kau masih menduga sehingga kini,
Andaiku bersenda dengan teka-teki.
Seribu bayangan aku gambarkan,
Namun masih kau tak mengerti.

Kita seringkali menduga-duga, apakah Allah menyayangi kita. Kerana kerapkali kita meminta tidak dapat kita lihat makbulnya, kerana kerapkali kita diuji dan dicuba terasa perit dihati dan di dada, kerana kerapkali kita terbelenggu aqal dan kata tiada jawaban yang dapat kita lontarkan.

Namun ikhwati Ilallah, Allah SWT telah menunjukkan kepada kita tanda-tanda kasih dan cinta Dia kepada kita. Selama kita hidup di muka dunia, tidak pernah lekang kasih dan cinta Allah kepada kita. Apakah kita sedarinya?

Mungkin kerana mata hati kita yang buta. Kerana pandangan mata hati yang tumpul dan terlumur dosa noda, membataskan pandangan kita pada kasih sayang Allah. Ikhwati Ilallah, tidakkah dapat kita perhatikan bahawa Allah sangat mencintai kita? Dengan segala apa yang berlaku, adalah pembuktian cinta-Nya kepada kita. Benar, atas segala apa yang berlaku adalah pembuktian bahawa Allah mencintai hamba-hamba-Nya.

Katakan kita ditimpa musibah, itu merupakan peringatan Allah kepada kita supaya kembali mengingati-Nya dan bermuhasabah diri. Kesusahan yang kita hadapi dalam hidup akan menyebabkan kita merasa kerdil dan rasa kebergantungan pada Allah menjadi lebih dalam. Kejadian yang menyedihkan akan memberikan kita sentuhan perasaan bahawa sehebat manapun manusia, namun segalanya adalah hak mutlak Allah sahaja. Ikhwati Ilallah, bukankah itu merupakan pembuktian rasa cinta daripada Sang Pencipta Cinta kepada kita para hamba-Nya? Ataukah hati kita masih buta dan samar dalam memahami hakikat cinta daripada Allah Subhanahu wa Taala.

Sedalamnya lautan tingginya bulan,
Bisa disentuh dengan pengetahuan,
Sepahitnya hempedu bisa ditelan,
Andai itulah penawarnya.

Ikhwati Ilallah, sungguh jalan menuju Allah itu amat sudah, sukar, penuh onak duri dan mehnah juga tribulasi. Penggunaan perkataan untuk menggambarkan bagaimana ujian dan cubaan dalam menapaki jalan menuju Allah tidak dapat menggambarkan kisah perjalanan yang sebenar. Namun ubat kepada kesusahan itu adalah dengan aqidah yang benar. Aqidah yang benar inilah yang akan memberikan kita penawar tika kaki kita sudah perit untuk melangkah. Aqidah yang benarlah yang akan menggerakkan kaki yang perit, menebalkan azam hati yang menipis, memaniskan perasaan yang kian tawar untuk terus istiqamah dan beristimrar di atas jalan Allah ini.

Baja kepada aqidah ini adalah ilmu. Ilmulah yang menjadi penyubur kepada aqidah yang benar tadi. Ilmulah yang akan memberikan tenaga dan momentum 'extra' untuk kita makin kuat, makin teguh dan makin melaju di atas jalan dakwah dan tarbiyah ini. Sehebat manapun kesusahan yang kita hadapi, namun sekiranya keyakinan kita bahawa syurga Allah menanti bagi orang yang taat, tsabat dan sabar dalam memperjuangkan dan berjihad di jalan Allah, maka semena-mena kesusahan itu berubah menjadi roti yang manis yang bersedia untuk kita telan. Ataupun menjadi air sejuk yang menjadi dambaan setiap musafir yang sesat diperjalanan. Itulah dia penawarnya. Seandainya kita mengerti maksud disebalik ujian yang berlaku...

Bukan sengaja aku merahsiakan cinta,
Namun curiga kau kan tersalah sangka,
Kerana kita rasa bangga bila dipuja,
Dan rasa keji bila dihina,

Kerana kita menolak segala bencana,
Dan asyik bergembira dengan nikmat-Nya,
Sedangkan semua ini adalah takdir-Nya,
Dan kita harus bersyukur sentiasa,

Manusia seringkali menginginkan sesuatu yang mudah, tidak kiralah apapun ianya yan mudah itu. Rezeki yang mudah, tugasan yang mudah, hidup yang mudah dan segala yang mudah-mudah belaka. Sesuatu yang mudah itu, akan memberikan kesan terhadap hati dan iman kita. Akan menyebabkan kita lalai dan leka dalam kehidupan yang segalanya mudah, senang, dan menyeronokkan. Namun kita benci dengan kesusahan. Benci dengan ujian. Sedangkan dengan ujian itulah yang akan mematangkan kita. Dengan ujian itulah yang akan menambahkan kesan pada hati dan memberikan impak positif pada perasaan. Dan dengan ujian itulah kita dapat mencatat suatu catatan yang berharga dalam diari kehidupan.

Ikhwati Ilallah, untuk hidup susah, manusia perlu belajar dan mempraktikkannya untuk mendapat pengalaman dan 'feel' hidup susah. Inilah persediaan kita sebagai seorang dai, yang siap untuk diperintahkan apa saja demi dakwah. Siap memenuhi apa saja tugasan demi dakwah. Rela mengorbankan harta bahkan jiwa sekiranya itu yang dituntut oleh dakwah. Namun ikhwati Ilallah, untuk hidup senang, manusia itu tak perlu belajar dan diajar. Kerana fitrah manusia itu sendiri yang akan menyesuaikan dirinya dengan kesenangan.

Bukannya teka-teki gurauan hati,
Sekadar melindung kasih yang tersembunyi,
Bukan mudah mencari kasih abadi,
Dalam terang ia sembunyi.....

Ikhwati Ilallah, sedarlah kita bahawa mardhatillah itu bukannya teka-teki, syurga dan neraka itu bukannya ilusi, buruk baik itu hakiki. Cuma, tidak terlihat oleh mata kita kerana ianya menjadi tawaran, ganjaran dan ujian kepada seluruh manusia jagat raya. Supaya kita mengingat Allah sentiasa, waspada dengan kemurkaan-Nya dan rindu akan pertemuan dengan-Nya. sungguh, syaitan akan membuka jalan gurauan dilaluan hidup kita, syaitan akan membuka jalan lain yang kelihatannya senang, manis, riang dan bahagia, namun terselindung disebalik semuanya adalah sengsara. Syaitan akan berusaha sedaya mungkin agar kita turut bersama dia terjerumus kelembah hina dan siksa - neraka.

Kerana itu ikhwati Ilallah, persiapkanlah diri dalam menghadapinya. Kencangkan ikatan iman kita kala menapak di jalan Allah. Gigitlah tali iman sekeras-kerasnya, gunalah gerahammu untuk memegang dan menggigitnya. Kerana jalan yang akan kita tapaki itu jauhnya tidak terkira, dalamnya tak terhingga, luasnya saujana mata, namun kenikmatannya tidak terhingga, bahagia bila mana bertemu Dia meluruhkan perit di dada. Sungguh jalan ini tidak mudah, namun penuh saadah.

Andainya kita mengetahui hakikat sebenarnya cinta Allah pada kita......

1 comment: