22 June 2010

Peristiwa Di Subuh Hari


(Khusus Untuk Para Isteri Pendakwah)



Apakah yang akan anti lakukan apabila pada awal pagi zauj (suami) anti baru tiba di rumah dengan wajah yang kuyu? Anti akan pura-pura tidak mendengar ketukan pintunya dan meneruskan mimpi-mimpi yang sedang anti nikmati?

Atau anti akan berlari-lari ke muka pintu, menjawab salam dengan bersemangat dan memberikan senyuman manis seraya menyapa : "Cepat masuk Bang, sejuk tu angin diluar, nanti ayang buatkan minuman panas untuk abang, biar panas dan segar sikit tubuh nanti.."

Para suami yang telah bekerja seharian demi memenuhi keperluan nafkah isteri dan keluarga, dan ditambah lagi dengan tugas-tugas dakwah yang ada pada malam itu (halaqoh, ta'lim, syuro dll sbgnya) harus ditunaikan sehingga dia pulang awal pagi, sambutan zaujah (isteri) yang penuh deraian senyum barangkali menjadi harapan. Betapa kecewa seorang zauj, yang pulang menembus kedinginan malam, disulami salakan anjing-anjing penjaga rumah serta rasa kantuk yang memberat di kepala, tiba-tiba dihadapan pintu dihadang pula kedinginan sikap, kurang mesranya sambutan, atau dengkuran sang zaujah.

Sungguh, zaujati (isteri ku) seorang zaujah yang baik. Dia pada malam itu, sebagaimana selalunya yang berlaku dalam kehidupan, aku pulang larut malam. Dia (zaujati) membuka pintu rumah dengan hati-hati agar tidak mengejutkan bayi kami yang baru umurnya empat bulan, Izzuddeen. Akan dia ucapkan salam sebelum aku mengucapkannya. Dicium tangan ku sebelum aku habis membalas salamnya. Diambilnya sepatu ku dan diletakkannya di rak lalu dirangkulnya beg sandang yang menemani ku seharian ini. Disediakan minuman untuk ku sebelum aku memintanya. Dan dia tahu minuman apa yang menjadi kesukaan ku apabila pulang lewat malam.

"Letih bang? Tentu banyak tugas yang mesti diselesaikan hari ini. Ini susu hangat untuk abang, abang nak air panas untuk mandi?"

Aku tersenyum melihatnya. Ku balas "Jazakillahi khairan. MasyaAllah, tentu ayang sibuk hari ini; memasak, mencuci, mengemas, mengasuh anak dan harus menulis pula. Cukup dengan mengingat itu semua, lelah abang hilang sudah".

Kata-kata pujian ku untuk zaujati tercinta, yang selalu terbangun kerana membukakan ku pintu, rela mengorbankan kantuk dan letih untuk menyediakan aku minuman dan air hangat untuk mandi. Mudah-mudahan dengan sedikit pujian yang tidak membantu apa-apa, akan membangkitkan lagi kasih-sayang, rasa setia dan keinginannya untuk terus berjuang di jalan di mana aku menapak sekarang, jalan dakwah. Selalu ku ucapkan kata-kata itu pada momen yang sama. Mudah-mudahan dia tidak bosan mendengarkannya.

"Ayang hanya memikir dan mengurus anak yang satu, sedang abang memikir dan mengurus ummat yang sejuta, dengan aneka asam dan garam. Tentulah ayang yang harus membantu abang".

"Alhamdulillah, abang bersyukur pada Allah kerana dikurniakan zaujah seperti ayang".

"Alhamdulillah, kebahagiaan dan kemuliaan yang besar bagi ayang kerana bersuamikan abang".

"Bagaimana dengan Izzuddeen? Sudahkan baik demamnya? Bagaimana dia sekarang?".

"Alhamdulillah, sudah kebah (baik) demamnya, sudah kembali menyusu dia. Alhamdulillah, sudah senyum meleret pada umminya. Dia tidur awal malam ni. Mungkin ayang perlu memperhatikan dia dengan lebih lagi, maafkan ayang..! ".

"Jazakillahi khairan. Mungkin abang yang harus perlu memerhatikan tugas abang agar tersisa lebih waktu untuk abang membantu ayang menguruskan hal rumah dan melayani Izzuddeen. Itu tetap tanggungjawab abang sebagai zauj".

"Tak mengapa bang. Tetaplah abang pada tugas yang abang pikul. Janganlah kendur atau surut sedikitpun. Tugasan di rumah dan mengurus Izzuddeen, janganlah mengganggu konsentrasi abang terhadap dakwah. InsyaAllah, akan ayang urus dan didik dengan lebih tekun lagi".

"Betapa mudah kita melakukan pengorbanan, namun agak sulit kita mengukur keseimbangan".

"Ayang sentiasa bermohon kepada Allah, agar kita diberi kemenangan dan kemudahan dalam mengurus ummat dan keluarga".

Aku kemudiannya melemparkan senyuman yang paling manis untuk dia. Agar terubat letih dan kantuknya. Agar tambah semangat padanya untuk berkhidmat pada Allah, Rasul dan suaminya. Meneguk minuman, bangkit berwudhu' dan sholat witir tiga rakaat.

Suara kokokan ayam sesekali menembus kepekatan dini hari. Berapa orang zaujah-kah yang senantiasa menerima kehadiran suaminya pada waktu sebegini? Berapa banyak daripada mereka yang sanggup mengusir kantuk, dan bergerak lincah ke muka pintu? Berapa orangkah yang masih menguntumkan senyum pada zauj mereka kala dini hari berangkat meninggalkan malam?

Dan kadang kala, aku juga tertanya-tanya, berapa orang zauj-kah yang melayani zaujahnya seperti ini?

Dakwah sesungguhnya memerlukan pengertian, pengorbanan dan kesabaran.

Ya Allah, berikanlah kepada kami kesempatan untuk istiqomah pada jalan-Mu.......